Menjaga Kesihatan Gigi dan Gusi: Pencegahan dan Rawatan –
Apabila bakteria menyerang gigi, ia akan menyebabkan pembentukan lubang yang membawa kepada pereputan gigi. Namun, jika ia menyerang gusi, ia akan menyebabkan penyakit gusi. Berbanding sakit gigi, penyakit gusi lebih mengganggu kerana rasa ngilu yang dideritai oleh penghidapnya. Penyakit gusi tidak menimbulkan rasa sakit dan tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga lebih sepuluh tahun apabila bakteria memusnahkan gusi.
Oleh kerana tidak menunjukkan sebarang gejala, biasanya pesakit tidak datang menemui doktor. Apabila gigi sudah bergoyang, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh doktor gigi. Gigi bergoyang disebabkan terdapat plak berwarna hitam atau tartar. Tabiat memberus gigi yang tidak betul atau sempurna menyebabkan tartar. Lama-kelamaan, ia akan memakan gusi sehingga ke tulang menyebabkan gigi tidak lagi mempunyai sokongan dan akhirnya bergoyang sehingga boleh dicabut dengan jari.
Mengesan Penyakit Gusi
Terdapat beberapa cara untuk mengesan penyakit gusi. Pertama, apabila gusi berdarah setiap kali memberus gigi. Penyakit gusi juga boleh dikesan melalui nafas yang berbau busuk. Hampir 80 peratus masalah nafas berbau menunjukkan individu berkenaan mengalami penyakit gusi. Gusi juga kelihatan bengkak akibat bakteria dan gigi mula bergoyang. Akhir sekali, gigi kelihatan renggang di antara satu sama lain.
Cara Memberus Gigi yang Betul
Sebaik menyedari semua gejala di atas, anda perlu segera berjumpa doktor gigi untuk membersihkan gigi daripada plak dan tartar. Membersihkan gigi bukan bermakna memutihkan gigi tetapi pembersihan yang menggunakan alat khusus bagi mengeluarkan tartar. Kaedah pembersihan ini dikenali sebagai root planning iaitu proses pembersihan secara mendalam sehingga ke bahagian tulang.
Sebelum itu, pesakit akan diberikan suntikan bius agar mereka tidak berasa sakit ketika berus dimasukkan ke dalam gusi sehingga ke tulang untuk mengeluarkan tartar. Sekiranya terdapat lubang di antara gigi, ini bermakna terdapat bakteria yang bersembunyi di dalamnya dan peluang untuk menyelamatkan gigi adalah tipis. Bagi menyelamatkan gigi, pesakit perlu ada keinginan yang sama. Mereka perlu memahami mengapa proses tertentu perlu dijalani untuk tujuan berkenaan.
Pemilihan Berus Gigi yang Sesuai
Pada masa ini, pesakit dinasihatkan agar sanggup mengeluarkan belanja lebih untuk membeli berus khas menggunakan bateri atau dikenali sebagai interspace brush. Terdapat juga berus secara manual (proxal brush) yang juga mampu memberus sehingga ke dalam gusi. Proses pembersihan ini boleh menyebabkan darah keluar tetapi ia tidak perlu dibimbangkan.
Secara luarannya, terdapat lima permukaan pada gigi. Kita hanya mampu membersihkan tiga permukaannya saja manakala bahagian yang terletak antara dua gigi tidak mampu dicapai oleh berus gigi. Bahagian ini perlu dibersihkan dengan floss. Manakala teknik memberus juga perlu betul dan perlu menggunakan berus gigi yang sesuai sama ada menggunakan berus gigi elektrik (bateri) atau secara manual. Gigi perlu digosok dengan membentuk pergerakan bulatan kecil bermula dari hujung gigi (geraham) sehingga ke depan gigi. Berus gigi perlu berada pada kedudukan 45 darjah ke arah gusi. Bahagian atas permukaan gigi pula digosok secara gerakan ke depan dan ke belakang.
Tabiat Berkumur untuk Nafas Segar
Bagi mendapatkan nafas yang segar, digalakkan tabiat berkumur menggunakan cecair khas yang terdapat di pasaran. Ia mengandungi bahan anti bakteria dan florida yang berfungsi menguatkan gigi di samping menyegarkan bau nafas.
Menjaga kesihatan gigi dan gusi adalah penting untuk memastikan kebersihan mulut yang baik dan mencegah penyakit yang boleh menyebabkan kehilangan gigi. Sentiasa berjumpa doktor gigi secara berkala dan amalkan cara penjagaan gigi yang betul untuk kesihatan mulut yang optimum.
SUMBER : BERITA HARIAN – SIHAT