Mengekalkan momentum kerja seharian mungkin bertambah sukar tanpa fikiran yang fokus dan tenaga optimum. Ramai yang beranggapan tubuh mereka memerlukan rehat dan tidur semata-mata. Namun, sebenarnya terdapat pelbagai cara untuk mengembalikan semula fokus dalam kerja. Lebih teruk, ada yang cenderung membiarkan diri hanyut dalam tekanan.
Berikut adalah beberapa kaedah yang boleh membantu anda mengekalkan fokus dan tenaga sepanjang hari:
1. Kafein
Kafein, yang kerap ditemui dalam kopi, coklat, dan minuman tenaga, boleh mengembalikan kecergasan minda dan membantu anda menumpukan perhatian. Namun, pengambilan kafein berlebihan boleh menyebabkan resah gelisah dan tidak selesa. Jadi, ambillah dalam jumlah yang sederhana.
2. Gula
Gula dalam bentuk glukosa yang dihasilkan tubuh daripada karbohidrat adalah sumber untuk mencergaskan kembali otak. Segelas jus atau minuman manis boleh memberi rangsangan jangka pendek kepada ingatan dan keupayaan mental.
3. Sarapan
Jangan abaikan sarapan. Kajian menunjukkan pengambilan sarapan berupaya meningkatkan fokus dan daya ingatan jangka pendek. Antara jenis makanan yang baik untuk sarapan termasuk bijirin penuh, hasil tenusu, dan buah-buahan. Usah makan berlebihan kerana sarapan berkalori tinggi juga boleh menghalang tumpuan.
4. Lebihkan Hidangan Ikan
Ikan kaya dengan asid lemak Omega-3 yang penting untuk kesihatan otak dan boleh menjana daya pemikiran menakjubkan. Pengambilan ikan yang tinggi dalam diet sering dikaitkan dengan risiko nyanyuk dan strok lebih rendah. Makan dua hidangan ikan setiap minggu untuk kesihatan otak yang optimum.
5. Kacang dan Coklat
Kacang dan bijian ialah sumber terbaik vitamin E serta antioksidan. Coklat gelap mengandungi perangsang semula jadi seperti kafein yang boleh meningkatkan fokus. Nikmati kira-kira 30 gram kacang dan coklat gelap setiap hari untuk mendapatkan semua faedah yang anda perlukan.
6. Avokado dan Bijirin Penuh
Diet tinggi bijirin dan buah-buahan seperti avokado boleh mengurangkan risiko penyakit jantung dan menurunkan kolesterol tidak baik. Bijirin seperti bertih jagung dan gandum penuh juga menyumbang kepada serat dan vitamin E. Walaupun avocado mempunyai lemak, ia adalah lemak baik untuk membantu aliran darah yang sihat.
7. Beri Biru
Penyelidikan menunjukkan beri biru boleh membantu melindungi otak daripada kerosakan disebabkan radikal bebas serta mengurangkan risiko penyakit berkaitan usia seperti Alzheimer atau demensia. Diet yang kaya dengan beri biru baik untuk pembelajaran dan fungsi otot.
8. Diet Sihat
Jika diet anda kekurangan nutrien penting, ia boleh menjejaskan keupayaan anda untuk menumpukan perhatian. Makan terlalu banyak atau terlalu sedikit juga boleh mengganggu tumpuan anda. Satu sajian berat boleh membuat anda berasa letih, manakala terlalu sedikit kalori pula menyebabkan anda terganggu dengan rasa lapar.
9. Vitamin, Mineral dan Makanan Tambahan
Walaupun banyak laporan mengatakan otak boleh dirangsang dengan pengambilan makanan tambahan vitamin B, C, E, beta-karotena, dan magnesium, sebenarnya ia hanya sesuai untuk mereka yang mengalami masalah kurang nutrien dalam diet harian. Semak dahulu dengan doktor anda untuk mengetahui keperluan sebenar.
10. Bersiap Sedia
Mulakan pagi anda dengan hidangan 100 peratus jus buah-buahan, roti gandum penuh dengan salmon, dan secawan kopi. Selain makan makanan seimbang, dapatkan tidur yang nyenyak, minum cukup air, amalkan senaman, dan rehat secukupnya.
Dengan mengamalkan tip-tip di atas, kemungkinan besar anda bukan saja lebih tenang dan fokus, malah tidak mustahil memiliki bentuk tubuh lebih sihat serta menawan. Amalkan gaya hidup sihat dan bijak dalam menjaga pemakanan untuk meningkatkan prestasi kerja dan kesejahteraan hidup anda.