Kuala Lumpur: Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) menawarkan ganjaran RM3,000 kepada individu yang menyalurkan maklumat mengenai seorang lelaki disyaki warga Myanmar yang melapah seekor kucing, seperti yang tular di media sosial.
Presidennya, Ari Dwi Andika, berkata kejadian itu disyaki berlaku di negara ini berdasarkan perbualan lelaki itu dalam video berkenaan yang menggunakan bahasa Malaysia.
Menurutnya, satu siasatan menyeluruh mengenai pembunuhan haiwan peliharaan itu perlu dilakukan untuk mengenal pasti kaedah dan niat sama ada ia bertujuan dijadikan makanan atau sekadar suka-suka.
“Jika siasatan mendapati kucing sengaja dibunuh untuk tujuan konten media sosial, pelaku perlu ditangkap, disiasat dan dihadapkan ke muka pengadilan. Secara moral juga, tindakan mematikan kucing untuk tujuan makanan bukanlah budaya masyarakat Malaysia dan ia tidak boleh dinormalisasikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mengenali atau pernah melihat lelaki melapah kucing itu supaya menyalurkan maklumat lengkap kepada MAA menerusi aplikasi WhatsApp di talian 014-6345464.
“Ganjaran RM3,000 ditawarkan kepada saksi yang menyalurkan maklumat atau boleh mengesahkan kejadian sehingga tertangkapnya pelaku, dibuktikan bersalah dan dijatuhi hukuman,” katanya.
MAA turut memuat naik rakaman video yang menunjukkan perbuatan kejam lelaki berkenaan di laman sosial Facebook dan Instagram rasmi mereka. Menerusi rakaman berdurasi 48 saat itu, seorang lelaki memegang pisau sebelum melapah seekor kucing yang sudah mati.
MAA berharap usaha ini dapat membantu menangkap dan menghukum pelaku yang bertindak kejam terhadap haiwan peliharaan serta memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan.
SUMBER : Harian Metro / gambar : TV3