Kelebihan dan Kekurangan Melabur Di Unit Amanah (Unit Trust) – Unit Amanah atau Unit Trust ialah suatu bentuk pelaburan yang mengumpulkan wang pelabur dan di uruskan oleh seorang pengurus dana professional yang akan melaburkan wang tersebut di dalam pelbagai portfolio sekuriti seperti saham Tenaga Nasional Berhad, saham Nestle, saham Top Glove, bon dan aset lain selaras dengan objektif pelaburan dana. Sekiranya aset yang dibeli untung, maka kita akan mendapat keuntungannya.
Kebaikan dan Keburukan Unit Amanah
Mari kita lihat beberapa kelebihan sekiranya melabur di dalam Unit Amanah:
Kemudahan transaksi
Pelaburan dalam Unit Amanah adalah mudah dan ringkas berbanding pelaburan langsung dalam sekuriti lain. Terdapat beberapa cara untuk melabur. Antaranya adalah secara tunai atau melalui akaun KWSP dan ia memerlukan perbelanjaan modal yang minimum menjadikannya berpatutan kepada pelabur yang baru bermula dan mempunyai dana terhad.
Kecairan
Pelaburan Unit Amanah boleh di beli dan di jual dengan mudah tanpa perlu menunggu masa yang lama. Namun, kita perlu tahu bahawa sifat Unit Amanah adalah pelaburan jangka sederhana dan panjang yang menggalakkan untuk melabur minimum 3 tahun dan ke atas untuk mendapat hasil yang berbaloi.
Pengurus dana profesional
Dana Unit Amanah diuruskan sepenuh masa oleh pengurus dana professional yang mempunyai kemahiran, kepakaran dan pengalaman untuk memaksimumkan pelaburan. Hal ini kerana, tidak semua mempunyai masa dan kemahiran untuk mengawasi instrument pelaburan mereka.
Setiap pengurus dana professional mempunyai lesen untuk menjalankan urusan jual beli unit dan mengawal selia pelaburan agar mencapai matlamat pelaburan yang ditetapkan.
Maybank Unit Trust,Maybank e-Fixed/Islamic Fixed Deposit,Maybank MIGA-i
Kepelbagaian portfolio
Unit Amanah membolehkan pelabur melabur di pelbagai syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia seperti sektor telekomunikasi, sektor penjagaan kesihatan, barangan pengguna, hartanah dan sebagainya. Selain itu, ia juga boleh melabur di pasaran luar negara seperti Apple, Nike, Microsoft, Ali Baba dan banyak lagi syarikat besar.
Tidak sesuai untuk pelaburan jangka pendek
Kebiasaannya, pemerolehan keuntungan dalam Unit Amanah memerlukan masa yang panjang. Ini yang menyebabkan Unit Amanah tidak sesuai untuk pelabur yang mahukan keuntungan dalam jangka pendek.
Ejen-ejen yang tidak beretika
Di dalam Unit Amanah, yang perlu diambil berat oleh pelabur ialah pemilihan ejen. Kebanyakan ejen-ejen Unit Amanah ini hanya mengejar target atau ‘close sale’ dengan meletakkan janji-janji manis seperti memperoleh pulangan yang tinggi dalam jangka masa yang singkat. Oleh itu, pelabur seharusnya bertindak bijak dengan mengajukan pertanyaan yang berkaitan dan meminta mereka menyertakan bukti bahawa syarikat mereka boleh dipercayai dan menguntungkan.
Tiada pengimbangan portfolio (reconstruction portfolio)
Seperti yang kita semua tahu, Unit Trust atau Unit Amanah ini membeli pelbagai jenis instrumen pelaburan. Tetapi, yang menjadi masalahnya ialah apabila pengurus dana atau ‘fund manager’ tidak melakukan pengimbangan semula portfolio (reconstruction portfolio). Hal ini akan menyebabkan kita terlepas pandang atau tidak mendapat keuntungan dan menjadikan tempoh pengambilan keuntungan itu menjadi semakin lama.
Caj atau Upah yang tinggi
Secara amnya, caj yang dikenakan kepada pelabur untuk melabur dalam Unit Amanah adalah tinggi. Terdapat dua bayaran iaitu caj perkhidmatan permulaan (bayaran kemasukkan) dan bayaran pengurusan tahunan.
Kesimpulan
Artikel ini menerangkan beberapa kebaikan dan keburukan melabur dalam Unit Amanah. Kebiasaannya, kekurangan atau keburukan Unit Amanah ini tidak diberitahu oleh ejen sedangkan kita sudah melabur.
Oleh itu, kita sebagai pelabur perlu bijak dalam memilih instrumen portfolio masing-masing dan sering bertanya kepada perundingcara Unit Amanah sebelum memulakan pelaburan supaya kita benar-benar faham caranya. Sebenarnya dengan Unit Amanah ini, ianya dapat melawan inflasi negara.
Pelabur perlu mengelakkan perasaan tergesa-gesa untuk mendapatkan keuntungan kerana Unit Amanah ini merupakan pelaburan jangka masa panjang.
sumber : https://www.majalahlabur.com/